Tuesday, 12 April 2011

Mereka Lagi Satu

"Alhamdulillah...
Alkisah, dgn adanya pilihanraya, byk peruntukan2 segera diberikan...
Jadi, marilah kita berdoa semoga pilihanraya diadakan sebulan sekali...
Maka, tiadalah jln berlubang, rumah senget, org2 x cukup makan, dll...
Amin..."

 Demikian provok seorang teman di wall Facebooknya yang baru saya baca sebentar tadi. Menarik, dan dalam diam, saya bersetuju dengan pendapat beliau. Walaupun ia nyata sukar dilakukan, namun saya percaya inilah juga harapan sebahagian besar masyarakat Malaysia, terutamanya di Sabah.

Pada waktu biasa di tempat saya ini, jalan berlubang, tanah runtuh, jambatan runtuh mahupun banjir sudah menjadi suatu kelaziman. Bila ianya terjadi sering bermain di fikiran saya akan mana perginya segala duit hasil pungutan cukai kita selama ini. Walaupun menjadi warganegara yang sentiasa membayar segala jenis cukai, pembangunan (pembaikpulihan) sering kali lambat sampai dan kadang kadang tidak menjengah kami di sini. Jika ada pun, ianya bersifat sementara dan tidak menyeluruh.

Cerita sedih itu pasti bertukar gembira bila munculnya PRK atau PRU. Secara tiba-tiba 'mereka' akan datang memberi bantuan. 'Mereka' datang memberikan jutaan duit dan limpahan kekayaan yang selama ini memang kami perlukan. Terdetik di hati, kenapakah peruntukan ini cuma datang sewaktu PRK atau PRU? Pelik.

Keadaan serupa juga berlaku di Sarawak pada waktu ini. Sepanjang penelitian saya yang kerap ke Negeri Bumi Kenyalang itu, mereka juga seperti kami, amat dahagakan pembangunan. Menanti peruntukan untuk melakukan itu ini cukup menyeksakan bagi mereka. Untuk menyatakan negeri ini miskin, BOHONG!. Dengan limpahan hasil semulajadi seperti kayu balak, minyak, pelancongan dan sebaginya, Sarawak adalah negeri yang sepatutnya sudah lama maju dari sudut pembangunan.

Tetapi, Alhamdulillah, dengan adanya Pilihanraya Negeri Sarawak kali ini, acap kali telinga ini disimbah dengan berita peruntukan segera yang diberikan kepada masyarakat di sana. Mungkin masyarakat Sarawak sudah boleh tersenyum kerana selepas penat bertungkus lumus dalam kepayahan, kini tiba masanya mereka bersenang lenang.

Satu perkara yang dapat saya fikirkan dalam hal ini. Tindakan 'mereka' memberi begitu banyak peruntukan segera seakan-akan menunjukkan mereka mula 'takut' dengan kelibat pihak 'lagi satu'. Ini kerana, 'mereka' tahu masyarakat Sarawak sudah mula beralih arah kepada pihak 'lagi satu' sesudah jemu dengan janji-janji 'mereka' yang tidak ditunaikan sejak dulu lagi. Jalan terbaik untuk menutup kesangsian ini adalah, dengan menunaikan janji-janji 'mereka' (walaupun janji tersebut sudah 5 tahun lamanya).

Secara tidak langsung, masyarakat boleh berterima kasih kepada pihak 'lagi satu' kerana jika tidak kerana kekuatan pihak ini sudah semakin bertambah dan membuatkan 'mereka' terasa terancam, mana mungkin peruntukan-peruntukan besar ini akan segera didapati. Jadi, berterima kasihlah kepada kedua-dua pihak.

Memetik kata-kata seseorang kepada saya dahulu, "Pembangkang yang kuat akan membuatkan sesebuah Kerajaan bertambah kuat".

2 comments:

  1. betul.kalau tiada pembangkang di sesebuah negara, maka tidak ada kemajuanlah di negara tersebut. namun, saya berharap pembangkang kuat tapi kerajaan masih tetap akan menang dalam pilihanraya. untuk membentuk sesebuah kerajaan baru itu amat payah.kena ambil masa 10 tahun lebih. so, better teruskan saja kerajaan skng tetapi akan dicabar kuat n rasa tergugat oleh pembangkang.

    ReplyDelete
  2. Nope...
    Track record Pakatan Rakyat sudah ada...
    Kalau dulu contohnya cuma Kelantan tetapi sekarang sudah ada Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan bekas Perak...
    Maknanya Pakatan Rakyat sudah mempunyai pengalaman memerintah negeri dan bermakna mereka bersedia memerintah negara!

    ReplyDelete