Thursday, 21 April 2011

Cerita Melayu

Assalamualikum dan Salam 1 Malaysia.

Di petang yang indah ini, saya ingin tinggalkan cerita serius dan menyesakkan minda. Kita akan bercerita tentang sesuatu yang lebih Relaxxx.

Ceritanya bertajuk, "Cerita Melayu".
Ya, Cerita Melayu. Cerita ini biasa 'kita' tonton di kaca TV di mana-mana jua tidak kira di rumah, restoran, pejabat, dalam kereta mahupun dalam tandas.

Kebanyakan kawan saya (yang sudah kenal lama dengan saya) memang sedia maklum dengan tabiat saya yang amat amat tidak suka menonton Cerita Melayu ini. Izinkan saya berikan beberapa sebab:

1. Rumah besar lambang kekayaan
Sama ada 'kita' perasaan atau tidak, kebiasaannya dalam cerita ini, rumah yang digunakan adalah Rumah Banglo Besar yang menunjukkan status kekayaan orang di dalam cerita tersebut. Amat jarang sekali set pengambaran diambil di rumah biasa melainkan jika mahu menunjukkan rumah para penjahat ataupun rumah si orang gaji.

2. Kereta berjenama
Tidak cukup dengan itu, kereta para pelakon dalam cerita tersebut terdiri daripada kereta berjenama terkenal seperti BMW, Mercedes Benz, Volkswagen, Ferarri, Porche dan macam-macam lagi. Pertanyaan saya, tidak adakah kereta buatan tempatan kita sendiri? Jika kita perhatikan cerita luar negara contohnya cerita dari Perancis, mereka akan menggunakan kereta mereka sendiri iaitu Porche dalam keseluruhan kereta dan jika cerita itu dari Jepun, mereka lebih selesa memilih kereta buatan Jepun.

3. Jalan cerita sama.
Terlalu banyak sekali cerita-cerita ini menampilkan jalan cerita yang hampir sama. Sama ada:
a.) 2 orang anak yang baru (atau akan) kematian ayah dan merebut kekayaan si ayah. Perbezaan dalam kebanyakan cerita ialah bagaimana si hero menangani konflik tetapi kesudahan, sama semuanya.
b.) 2 orang yang berlainan sifat dan saling jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain rupa-rupanya adalah adik beradik.
c.) Anak orang kaya yang cuba menjadi orang miskin dengan cara bekerja seperti orang miskin. Cuma baju dan perangai mereka tetap seperti si kaya.
d.) 2 orang lelaki berebut seorang wanita. Permulaan cerita wanita ini terpikat dengan lelaki pertama tetapi pada akhirnya dia terpikat pada lelaki kedua.
e.) 2 orang wanita berebut seorang lelaki. Lelaki ini sudah mengaku akan taat setia dengan wanita pertama (walaupun wanita pertama jahat), tetapi pada akhirnya wanita kedua akan berjaya memiliki lelaki tersebut.

Cukup hanya dengan 3 alasan kuat ini menyebabkan saya sudah muak, jemu dan bosan untuk menonton cerita Melayu. Jika pun saya menonton cerita ini pada kemudian hari kelak, ianya tidak lain hanya untuk:
1. Membuang masa dengan menonton sesuatu yang memang bersifat 'membuangkan masa'
2. Menjaga hati mereka yang mengajak saya menonton
3. Terlupa bayar bil Astro dan pilihan yang tinggal cuma RTM1, RTM2 dan TV3.

Friday, 15 April 2011

Andai Andaian

"Andai tak pandai, Belajar...
Andai tak tahu, Bertanya...
Andai tak mampu, Berusaha...
Andai tak terluah, Berahsia..."

Lumrah insani, terlalu kerap berandaian. Kekadang andaian menjurus kelemahan, tika lain andaian membuah kekuatan.

Kata diri ini, berandaianlah. Tiada salah jiwa dibiar mengandai jauh. Tiada salah diri dihanyut dengan andaian liar. Asal cuma, andaian itu berpaksi pada tunjang yang kukuh.

Diri ini turut suka mengandai. Ada masa melihat diri, mengandai itu ini. Mengandai, bertanya kekuatan sendiri. Ah, diri ini tiada apa-apa, takulan si pengandai tiada yakin pada kendiri. Masa lain, melihat kelibat manusiawi, mengandai meneka peribadi. Membezakan diri, timbul iri hati, kekadang mensyukuri, semua sebab andaian. Baik benar, baik bohong, ianya cuma andaian.

Sudah puas diri berandai, diri balik memuhasabah diri. Insan lain berandai membuah kekuatan, kenapa diri tiada mampu berandai sama? Diri mengandai, kita sama, kita serupa, berandai benda setara.

Jadi, mengandailah fikiran tiada sama seperti mereka yang lain. Mengandailah ia di luar kebiasaan diri, mengandai suatu kelaianan.

Lain apa? Lain bagaimana?
Andailah sendiri.

Hukum Menghebahkan Pertunangan

Artikel ini telah diedit dan diolah semula.
Sumber artikel asal : http://muhammad1987.blogspot.com/2009/05/hukum-menghebahkan-pertunangan.html

Hukum Menghebahkan Pertunangan

Soalan:

Saya ada terdengar pendapat menyatakan menghebahkan pertunangan hukumnya harus. Yang sunatnya ialah menghebahkan pernikahan berdasarkan dalil yg sahih (Fiqhul Manhaji, 2/90). Daripada Aisyah RA katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Hebahkanlah berita pernikahan ini dan palulah gendang" (Hadis Riwayat Ibn Majah).

Ada pendapat yang mengatakan ia tidak patut dihebahkan sebab jika putus tunang, maka jatuh maruah wanita yang ditunangi. Oleh itu tidak berapa elok disebarkan pertunangan itu. Mohon penjelasan terhadap isu ini.

Jawapan:

Menurut penelitian saya, para ulama terbahagi kepada dua golongan dalam membahaskan hukum menghebahkan pertunangan ini:
1) Harus menghebahkan pertunangan
2) Sunat menyembunyikan pertunangan


HARUS MENGHEBAHKAN PERTUNANGAN

Saya menaqalkan (dengan ringkasan) fatwa Doktor Ahmad Al-Hajji Al-Kurdi yang merupakan anggota majlis fatwa Kuwait seperti berikut:

حكم إسرار الخِطبة

السؤال : ما حكم الإسرار بالخِطبة - بكسر الخاء - للزواج، وهل ورد في الحث عليها- على الإسرار بها - حديث؟

الفتوى:

فلا مانع من إشهار الخطبة شرعا، بل هو الأولى، لأن الأصل في الأشياء الإباحة، ولم يرد في ذلك نص مانع، وأما النكاح فإشهاره مأمور به من الشارع بأحاديث كثيرة، منهاقول النبي صلى الله تعالى عليه وسلم: (أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ) رواه الترمذي وغيره.ولا أعلم حديثا يمنع من إعلان الخطبة أو ينهى عن ذلك

Terjemahan:
Hukum merahsiakan pertunangan.
Soalan: Apakah hukum merahsiakan pertunangan dengan tujuan perkahwinan? Adakah terdapat hadis yang menggesa agar dirahsiakan pertunangan?

Fatwa:
Maka tidak ada halangan dalam mengisytiharkan pertunangan secara syarak, bahkan ianya adalah lebih utama (untuk diisytiharkan), kerana (hukum) asal bagi tiap-tiap sesuatu adalah harus, dan tidak datang nas yang menghalang (dari berbuat sedemikian). Manakala pernikahan, ianya adalah diperintahkan oleh Allah SWT melalui hadith-hadith yang banyak. Antaranya adalah sabda Nabi SAW: "Hebahkanlah pernikahan ini, dan adakan ianya di masjid-masjid, dan palulah duf-duf(alat muzik seperti kompang)" Riwayat Al-Tirmidzhi dan selainnya. Dan tidaklah aku ketahui sesuatu hadis yang menghalang dan mencegah dari menghebahkanya (pertunangan).-(1)

Begitu juga apa yang disebut dalam laman web ISLAMQA yang dikelolakan oleh Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid, yang menyebutkan dalam salah satu fatwa yang terdapat dalam laman tersebut berkenaan Khitbah Syar'iyyah (pertunangan menurut syarak). Antara yang terdapat dalam petikan fatwa tersebut:

وما يفعله بعض المسلمين من إعلان الخطبة وما يقيمونه من أفراح وما يقدمونه من هدايا كل ذلك هو من باب العادات التي هي مباحة في الأصل ولا يحرم منها إلا ما دل الشرع على تحريمه

Mengenai perbuatan sebahagian kaum Muslimin yang mengiklankan pertunangan serta menzahirkan kegembiraan (dengan mengadakan majlis), serta perbuatan memberi hadiah, adalah merupakan adat yang harus pada asalnya, dan tidak diharamkan ia, melainkan perbuatan-perbuatan yang diberi petunjuk oleh syarak akan keharamannya. -(2)

Demikianlah pendapat beberapa ulama yang menyentuh mengenai hukum keharusan dihebahkan pertunangan. Manakala di bawah ini saya bawakan pandangan yang sebaliknya.


SUNAT MENYEMBUNYIKAN PERTUNANGAN

Setakat yang saya ketahui, terdapat qaul dalam mazhab Maliki yang menyatakan bahawa hukum menyembunyikan pertunangan adalah sunat, seperti yang disebut di dalam kitab Al-Syarhu Al-Kabir oleh Sidi Ahmad Al-Dardir,menyebutkan :

( و ) ندب ( تقليلها ) أي الخطبة بالضم ( وإعلانه ) أي النكاح بخلاف الخطبة بالكسر فينبغي إخفاؤها (2:216)

Terjemahan: (Dan) sunat (memendekkannya) iaitu khutbah (nikah) (dan mengiklankannya) iaitu pernikahan, berlawanan dengan pertunangan, maka hendaklah disembunyikan.(jilid 2: m/s 216)

Dan juga di dalam kitab Manhul Jalil Syarah 'Ala Mukhtasar Khalil oleh Sheikh Muhammad Alisy, menyatakan:

وأما الخطبة بالكسر فيندب إخفاؤها كالختان 3:257

Terjemahan: Dan pertunangan itu disunatkan agar disembunyikan (sama) seperti khitan. (Jilid 3: m/s 257)

Dalam web Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), ada menyebutkan mengenai gesaan agar tidak melampau dalam menghebahkan pertunangan. Teksnya adalah seperti berikut:

"Another matter that must be given serious consideration is the publicising of an ‎engagement. An engagement is an pact between a man and a woman to be ‎married, and the process of getting to know each other better. Over-publicising the ‎engagement, as have often been the case recently, should not take place. This is ‎because an engagement is only a pact, and may or may not actually lead to ‎marriage. Therefore, over-publicising the engagement may lead to embarrassment ‎for the family in the event that the couple does not end up marrying. In addition, ‎publicising the engagement also opens a path for those who are jealous and ‎envious to sabotage the union. ‎The Prophet Muhammad (s.a.w.) himself reminded all to: “Keep the engagement a ‎secret, and announce the marriage.” (Reported by Ahmad from Abdullah ibni ‎Zubair (r.a.) and corroborated by Albani in ‘Irwa’ al- Ghazali’). -(3)

Kemungkinan, sandaran dalil bagi golongan ini ialah hadis yang biasa berlegar dikalangan umat Islam seperti yang dipaparkan dalam laman web YADIM tersebut. Sebenarnya, hadith tersebut berbunyi begini:

( أظهروا النكاح وأخفوا الخِطبة )

Terjemahan: (Zahirkanlah pernikahan dan sembunyikanlah pertunangan).

Hadith tersebut diriwayatkan oleh Ad-Dailami dalam Musnad Al-Firdaus.Walaubagaimanapun hadith ini berstatus dhaif, seperti yang disebutkan oleh Sheikh Al-Albani dalam kitabnya Silsilah Ad-Dho'ifah (no 2494) dan Dho'if Al-Jami' Al-Saghir (no 922).

Manakala hadis yang disebutkan dalam laman web YADIM tersebut adalah hadis Riwayat Ahmad daripada Abdullah Ibn Zubair RA, dan dihasankan oleh Sheikh Al-Albani dalam kitabnya Irwa' Al-Ghalil (إرواء الغليل ),dengan lafaz a'linu an-nikah (hebahkan pernikahan) dan tanpa penambahan lafaz akhfu al-khitbah (sembunyikan pertunangan). Iaitu hadith tersebut berbunyi:

أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ( أعلنوا النكاح ) روى أحمد عن عبد الله بن الزبير رضي الله عنه والحديث حسنه الألباني في إرواء الغليل :1993
-(4)

Berbalik pada pendapat golongan ini yang menggalakkan (sunat) menyembunyikan pertunangan, adalah disertai dengan tujuan untuk mengelakkan rasa iri hati dan dengki (hasad) bagi pihak lain, seperti yang saya naqalkan dari laman web Islamweb.net yang menyebutkan:

قال الخرشي في شرح خليل: وأما الخطبة بالكسر فيندب إخفاؤها كالختان وإنما ندب الإخفاء خوفاً من الحسدة

Terjemahan: Telah berkata Al-Khurasyi di dalam kitab Syarhu Khalil: Maka pertunangan adalah disunatkan agar disembunyikan seperti khitan. Dan sesungguhnya penyembunyian ini sebagai langkah berjaga-jaga dari perasaan hasad dengki (pihak lain).-(5)

Pandangan ini bertepatan dengan hadith umum (bukan khusus terhadap kes pertunangan) Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

قول النبي صلى الله عليه وسلم : ( استعينوا على إنجاح الحوائج بالكتمان ، فإن كل ذي نعمةٍ محسود ) رواه الطبراني وصححه الألباني في صحيح الجامع :943

Terjemahan:
Sabda Nabi SAW: Mintalah pertolongan dalam memenuhi hajat-hajat secara sembunyi, kerana sesungguhnya setiap yang memiliki nikmat akan ada kedengkian (terhadapnya). Riwayat at-Thabrani, disahihkan oleh al-Albani dalam kitab Sahih Al-Jami' (no 943).


KESIMPULAN

Demikian yang mampu saya kongsikan mengenai pendapat-pendapat ulama terhadap isu ini. Walaubagaimanapun, menurut pandangan saya, setiap pihak mempunyai dalil masing-masing dari sudut tertentu, walaupun terdapat dalil yang digunakan adalah hadith dhaif, bagi golongan yang menggalakkan disembunyikan pertunangan.

Berdasarkan apa yang saya pelajari, sikap menolak terus hadis-hadis dhaif dari digunakan dalam perbahasan fiqh (bukan sebagai hujah seperti mana maklum, tetapi sebagai sokongan) adalah tindakan yang merugikan khazanah ilmiah Islam itu sendiri.

Kesimpulan bagi perbahasan ini (menurut pandangan saya, moga-moga Allah mengampuni diri ini andai melakukan kesilapan), bagi individu-individu yang bertunang yang bebas dari kedengkian orang lain terhadapnya, bolehlah menghebahkannya ataupun tidak (bergantung kepada pilihan, kerana hukumnya adalah mubah/harus), manakala bagi mereka yang yakin akan ada orang yang dengki dan bakal melakukan perbuatan tidak baik terhadap mereka, dan dibimbangi seandainya pertunangan tersebut putus,maka akan menjejaskan maruah mana-mana pihak, adalah dianjurkan untuk menyembunyikan pertunangan mereka, sebagai langkah berhati-hati dan menjaga kemaslahatan bersama.

Wallahua'lam bisshowab.

Rujukan artikel ini:
(1) http://www.islamic-fatwa.com/fatawa/index.php?module=fatwa&id=4604
(2) http://www.islamqa.com/ar/ref/20069
(3) http://www.yadim.com.my/english/Sosial/SosialFull.asp?Id=365
(4) http://www.islamqa.com/ar/ref/67884
(5) http://www.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Id=65842&Option=FatwaId

Tuesday, 12 April 2011

Mereka Lagi Satu

"Alhamdulillah...
Alkisah, dgn adanya pilihanraya, byk peruntukan2 segera diberikan...
Jadi, marilah kita berdoa semoga pilihanraya diadakan sebulan sekali...
Maka, tiadalah jln berlubang, rumah senget, org2 x cukup makan, dll...
Amin..."

 Demikian provok seorang teman di wall Facebooknya yang baru saya baca sebentar tadi. Menarik, dan dalam diam, saya bersetuju dengan pendapat beliau. Walaupun ia nyata sukar dilakukan, namun saya percaya inilah juga harapan sebahagian besar masyarakat Malaysia, terutamanya di Sabah.

Pada waktu biasa di tempat saya ini, jalan berlubang, tanah runtuh, jambatan runtuh mahupun banjir sudah menjadi suatu kelaziman. Bila ianya terjadi sering bermain di fikiran saya akan mana perginya segala duit hasil pungutan cukai kita selama ini. Walaupun menjadi warganegara yang sentiasa membayar segala jenis cukai, pembangunan (pembaikpulihan) sering kali lambat sampai dan kadang kadang tidak menjengah kami di sini. Jika ada pun, ianya bersifat sementara dan tidak menyeluruh.

Cerita sedih itu pasti bertukar gembira bila munculnya PRK atau PRU. Secara tiba-tiba 'mereka' akan datang memberi bantuan. 'Mereka' datang memberikan jutaan duit dan limpahan kekayaan yang selama ini memang kami perlukan. Terdetik di hati, kenapakah peruntukan ini cuma datang sewaktu PRK atau PRU? Pelik.

Keadaan serupa juga berlaku di Sarawak pada waktu ini. Sepanjang penelitian saya yang kerap ke Negeri Bumi Kenyalang itu, mereka juga seperti kami, amat dahagakan pembangunan. Menanti peruntukan untuk melakukan itu ini cukup menyeksakan bagi mereka. Untuk menyatakan negeri ini miskin, BOHONG!. Dengan limpahan hasil semulajadi seperti kayu balak, minyak, pelancongan dan sebaginya, Sarawak adalah negeri yang sepatutnya sudah lama maju dari sudut pembangunan.

Tetapi, Alhamdulillah, dengan adanya Pilihanraya Negeri Sarawak kali ini, acap kali telinga ini disimbah dengan berita peruntukan segera yang diberikan kepada masyarakat di sana. Mungkin masyarakat Sarawak sudah boleh tersenyum kerana selepas penat bertungkus lumus dalam kepayahan, kini tiba masanya mereka bersenang lenang.

Satu perkara yang dapat saya fikirkan dalam hal ini. Tindakan 'mereka' memberi begitu banyak peruntukan segera seakan-akan menunjukkan mereka mula 'takut' dengan kelibat pihak 'lagi satu'. Ini kerana, 'mereka' tahu masyarakat Sarawak sudah mula beralih arah kepada pihak 'lagi satu' sesudah jemu dengan janji-janji 'mereka' yang tidak ditunaikan sejak dulu lagi. Jalan terbaik untuk menutup kesangsian ini adalah, dengan menunaikan janji-janji 'mereka' (walaupun janji tersebut sudah 5 tahun lamanya).

Secara tidak langsung, masyarakat boleh berterima kasih kepada pihak 'lagi satu' kerana jika tidak kerana kekuatan pihak ini sudah semakin bertambah dan membuatkan 'mereka' terasa terancam, mana mungkin peruntukan-peruntukan besar ini akan segera didapati. Jadi, berterima kasihlah kepada kedua-dua pihak.

Memetik kata-kata seseorang kepada saya dahulu, "Pembangkang yang kuat akan membuatkan sesebuah Kerajaan bertambah kuat".

Monday, 11 April 2011

Orang Laut China Selatan

Situasi 1
A: "Asal awak dari mana?"
S: "Sabah"
K: "Kenapa muka macam orang semenanjung?"
S: "Em, ibu saya dari Sabah, bapa pula orang Negeri Sembilan"

Situasi 2
B: "Awak asal dari mana?"
S: "Negeri Sembilan"
B: "Kenapa muka macam orang Sabah?"
S: "Hm, sebab bapa dari Negeri Sembilan dan ibu orang Sabah"

Dua situasi, satu persamaan.

Assalamualikum.
Salam perkenalan dari saya, Arham Saufi.
Bapa saya Mohd Isa Abd Razak dan ibu bernama Normaya Arifin. Bapa adalah seorang Melayu berasal dari Kampung Jimah Baru, Negeri Sembilan. Kampung ini berada dalam daerah Port Dickson. Ibu saya pula dari suku kaum Dusun dan berasal dari Kampung Libang, Ranau, Sabah.

Situasi-situasi atau lebih tepat pertanyaan seperti di atas selalu saya hadapi ketika berurusan dengan mereka yang pertama kali berjumpa dengan saya. Biarpun pelik pada awalnya (mungkin kerana soalan mereka hampir serupa), namun lama kelamaan ia sudah menjadi lumrah dalam hidup saya.

Pernah seseorang bertanya, "Secara jujur, awak orang Sabah atau Negeri Sembilan?". Disebabkan malas untuk menjawab panjang lebar, saya memilih menjawab dengan sebuah senyuman.

Kini, jika pertanyaan sama diajukan sekali lagi, saya akan menjawab mudah;

"Saya Orang Laut China Selatan"